KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengambil peluang berbuka puasa bersama ibunya, Tun Rahah Mohammad Noah, hari ini, walaupun berdepan ujian getir apabila puluhan polis menyerbu kediamannya sejak semalam.

Bekas Perdana Menteri itu turut berkongsi gambarnya bersama Tun Rahah, yang dimuat naik di akaun Instagram rasminya.

“Alhamdulillah, berkat bulan Ramadan, dapat bersama bonda Tun Rahah sementara menunggu masuk waktu Isyak dan solat Tarawih tadi,” katanya.

Gambar itu turut mendapat 11,548 ‘likes’ setakat jam 10.30 malam tadi.

Sejak semalam, kediaman Najib di Taman Duta dan Pavilion Residence Apartment diserbu puluhan polis, dipercayai berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, sumber yang dekat dengan Najib memberitahu Tun Rahah sedih apabila mendapat tahu serbuan dilakukan di kediaman anaknya, lapor Malaysiakini.

“Beliau bimbang dengan keluarganya, terutamanya cucu-cucu, dan cicit yang baru dilahirkan.

“Beliau sedih dengan masalah yang melanda dan cara Najib dilayani,” kata sumber itu, sambil menambah Najib memberi jaminan kepada ibunya bahawa beliau telah melakukan yang terbaik untuk negara ini.

Tun Rahah juga meminta Najib tabah dengan ujian Allah, kata sumber itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.