Johor Bahru – “Kereta itu datang dalam keadaan laju lalu merempuh kami,” kata Muhammad Zulfadli Yusri, 19, antara mangsa yang cedera dalam insiden rempuhan kenderaan yang mengorbankan lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini, awal pagi tadi.

Muhammad Zulfadli yang bekerja sebagai tukang cat dari Stulang Baru turut mendakwa pemandu kenderaan Nissan Almera iaitu seorang wanita memandu sambil menggunakan telefon.

“Saya datang dari rumah nampak sekumpulan basikal sedang berkumpul di tepi, jadi saya pun ikut sekali, tak lama kemudian bila saya pandang belakang saya lihat kereta sedang dipandu laju untuk ke tengah.

“Saya nampak dengan mata saya, pemandu itu sedang main telefon… dan sebat (langgar) semua,” katanya yang ditemui di Wad Barat, Hospital Sultanah Aminah, di sini, hari ini.

Dia yang baru tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit sebelum itu tidak sempat hendak mengelak.

Menurut Zulfadli, insiden itu berlaku dengan cepat dan apabila sedar dia nampak rakan basikal lain yang tidak dikenalinya bergelimpangan dan ada di antaranya meninggal dunia.

Akibat kejadian itu, Muhammad Zulfadli patah kaki kanan.

Sementara itu, mangsa yang turut terselamat Muhamad Farhan Che Mat, 16, dari Taman Desa Cemerlang sedang menunggu rakannya di lokasi kejadian untuk ke Dataran Bandaraya.

“Nampak kereta laju, tak sempat nak elak, terus rasa gelap.

“Saya sedar apabila ada orang tolong, ketika itu tidak rasa sakit, apabila dah sampai hospital baru rasa sakit,” katanya.

Dia yang tidak bersekolah mula bermain basikal sejak umur 12 tahun mengalami patah kaki kanan.

LEAVE A REPLY