Johor Bahru – Polis mengesahkan lapan remaja maut, lapan lagi cedera termasuk dua kritikal selepas dirempuh sebuah kereta ketika mereka menunggang basikal secara berkumpulan di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran perkuburan Mahmoodiah di sini, awal pagi tadi.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian jam 3 pagi itu ialah pelajar sekolah berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata dalam kejadian itu, kereta Nissan Almeera yang dipandu seorang wanita berusia 22 tahun merempuh kumpulan remaja terbabit.

“Ketika kejadian terdapat kira-kira 40 remaja di lokasi kejadian bersama basikal masing-masing yang sudah diubah suai dan polis tidak tahu apa tujuan mereka berkumpul di situ.

“Tiba-tiba datang sebuah kereta dan merempuh kumpulan remaja terbabit mengakibatkan lapan daripadanya terbunuh dan lapan lagi cedera,” katanya pada sidang media di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, sebentar tadi.

Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Skudai dari Taman Pelangi.

Katanya, pemandu kereta terbabit mendakwa dia tidak sedar kehadiran kumpulan remaja terbabit di situ kerana keadaan jalan yang berbukit.

“Pemandu terbabit sudah ditahan untuk disoal siasat. Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung perkara ini,” katanya.

Sementara itu, tiga mangsa sudah dikenal pasti ahli keluarga masing-masing di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Manakala selebihnya masih dalam proses pengecaman kerana difahamkan semasa kemalangan kebanyakan mangsa tidak membawa pengenalan diri.

LEAVE A REPLY