Johor Bahru – “Ibu sudah banyak kali larang adik keluar bermain basikal pada waktu malam, tetapi dia tetap degil dan keluar tanpa pengetahuan ibu, ” kata Aspaliah Kasrin, kakak kepada Haizat, 16, yang maut bersama tujuh sahabat dirempuh kereta pagi tadi.

Aspaliah, 32, berkata beliau bergegas ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada jam 4 pagi tadi, selepas dimaklumkan bahawa adiknya, Haizat maut dalam tragedi itu.

Katanya, Haizat yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 3 itu disifatkan sebagai anak yang mesra dengan ahli keluarganya.

“Arwah adalah anak kelapan daripada sembilan beradik itu mempunyai kemahiran membaiki dan mengubah suai basikal.

“Sebelum ini, ahli keluarga lain mahupun ibu, Jamilah Sulaiman, 54 kerap menasihatinya dan melarangnya berbasikal, ” katanya yang juga seorang kerani di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sementara itu, Shabariah Yusoff, 49, yang bekerja sebagai tukang cuci menyifatkan anaknya, Mohd Firdauz Danish, 16, sebagai seorang yang rajin dan jarang bercerita mengenai hal peribadi kepada ibunya.

BACA: ‘Abang Janji, Ini Last Abang Pergi Ke Sana’ – Arwah Firdauz

“Sebelum kejadian, dia keluar bersama rakannya pada malam itu tanpa memberitahu saya. Saya tidak merasakan apa-apa sehingga saya mendapat panggilan telefon daripada rakannya kira-kira pukul 3 pagi.

“Saya kemudiannya terus bergegas ke HSA, di sini, sebelum mereka (pihak hospital) memberitahu saya untuk pergi ke Jabatan Forensik untuk pengecaman mayat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSA di sini, hari ini.

Shabariah yang menetap di Kampung Senibong, Permas Jaya, di sini, berkata, beliau perasan mengenai tingkah laku anaknya berubah selepas anaknya itu pulang dari menunaikan solat Jumaat beberapa jam sebelum kembali keluar bersama rakannya untuk bermain basikal.

“Dia menjadi pendiam dan tidak bercakap langsung sebelum itu dan pergi tanpa pengetahuan saya. Itulah membuatkan saya begitu terkilan, ” katanya.

LEAVE A REPLY