Jururawat ditoreh mukanya dengan pisau oleh peragut yang cuba meragut beg tangannya di kawasan parkir pasar raya di Bandar Sri Perdana, Jalan silam, di sini, kelmarin.

Akibatnya, wanita itu parah di dahi, hidung dan mulut.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa Normalia Tuang, 43, yang bertugas klinik swasta di Kinabatangan, dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Lahad Datu, di sini, oleh orang awam dan dilaporkan stabil.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa baru selesai membeli kelengkapan dapur di pasar raya berkenaan lalu menuju ke kenderaan di kawasan parkir untuk menyimpan barang.

Ketika sedang memunggah barang ke dalam kenderaan di pintu belakang sebelah kanan, tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali cuba menarik beg tangannya menyebabkan dia melawan.

Suspek yang gagal melarikan beg tangan itu kemudian menoreh muka mangsa menggunakan pisau sebelum melarikan diri.

Orang ramai yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis sebelum menghantar mangsa ke Hospital Lahad Datu, untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner M Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa menerima rawatan di Hospital Lahad Datu dan dilaporkan stabil.

“Polis sedang mengesan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY