Meskipun semua parti sudah membentangkan manifesto masing-masing, PAS nampaknya belum selesai memberi tawaran yang lebih lumayan kepada rakyat sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Terbaru, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan pihaknya bersedia memberikan wang BR1M berjumlah RM2,500 sekiranya PAS memerintah negara dan beliau diangkat sebagai perdana menteri.

Jumlah yang ditawarkan PAS itu lebih tinggi berbanding tawaran Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak sebelum ini dalam manifesto BN.

“Malam ini saya nak isytihar, kalau kita menang memerintah Malaysia, ambo (saya) jadi perdana menteri ambo akan bayar BR1M RM2,500.

“Guana agok (macam mana agak)? Berpeluh kalau Najib dengar, sebab tiga kali dah BR1M naik selepas ambo sebut. Kebetulan ke tidak ambo tak pasti,” katanya ketika berceramah di program Himpunan Bangkit Pertahan Kelantan PRU14 di Salor, Kota Bharu, malam tadi.

Terdahulu, BN menawarkan kenaikan wang BR1M dengan tambahan RM800 berbanding jumlah asal iaitu RM1,200 dalam manifestonya jika kekal memerintah Malaysia selepas PRU14.

Untuk rekod, sejak diperkenalkan pada 2012, agihan BR1M bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah berjumlah RM500 sebelum ditingkatkan kepada RM1,050 (2016), RM1,200 (2017) dan RM1,200 (2018).

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan menjelaskan tawarannya dibuat kerana mendapati kerajaan BN menaikan nilai BR1M setiap kali beliau memberi tawaran yang lebih tinggi.

“Dulu BR1M RM500 saja, ambo pernah sebut kalau ambo jadi perdana menteri nak bagi RM1,000. Selepas itu naik, kemudian ambo sebut lagi nak bagi RM1,500, dia (Najib) naikkan jadi RM1,200.

“Sekarang dia janji pula, sebelum ini ambo kata kalau jadi perdana menteri ambo nak naikkan jadi RM2,000. Dia pun umum dalam manifesto nak bagi RM2,000.

“Jadi malam ini saya nak lawan balik, kita nak bagi RM2,500,” jelasnya.

Tambah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor itu, penambahan BR1M dibuat oleh kerajaan persekutuan itu kemungkinan kerana Najib mendengar ceramahnya.

“Barangkali dia (Najib) ini dengar ceramah ambo, tuan-puan boleh rujuk ucapan-ucapan saya yang lepas boleh tengok dalam You Tube.

“Yang saya sebut dia balas balik belaka,” katanya yang turut menyentuh isu pemikiran cetek di kalangan pengundi yang enggan mengundi PAS susulan tidak diberi bantuan-bantuan kecil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.