SHAH ALAM – Pemuda Umno Selangor mendesak agar polis segera menyiasat Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berhubung kenyataannya yang cuba mencetuskan provokasi perkauman.

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, meskipun Kula Segaran sudah meminta maaf namun tegasnya ‘yang bersalah tetap bersalah’, oleh itu siasatan perlu dilakukan.

“Dekat sini tidak timbul kita terima atau menolak permohonan maaf beliau, kita perlu adil, saya ambil contoh kes Presiden Isma Abdullah Zaik yang pernah didenda di bawah Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan 1998, selepas laporan bertajuk ‘Kedatangan pendatang Cina bersama British satu bentuk pencerobohan yang dikeluarkan di portal Isma.

“Jadi kita ada undang-undang kalau salah tetap perlu diambil tindakan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pihaknya membuat laporan polis terhadap Kula Segaran.

Jelasnya, laporan polis terhadap Kula Segaran akan disusuli oleh Umno Negeri di seluruh negara selepas Umno Selangor berbuat demikian hari ini.

Dalam isu ini, selepas dikecam pelbagai pihak, Kula Segaran membuat keputusan untuk menarik balik kenyataan kontroversi dikeluarkannya dalam satu ucapan di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, beliau mendakwa menarik balik kenyataan itu kerana enggan kontroversi itu terus membarah.

Malah, beliau juga meminta maaf dan mengatakan sebelum ini beliau tidak pernah mencipta kontroversi dengan mempertikaikan perbezaan kaum dan agama di negara ini.

Kula Segaran mencipta kontroversi baru-baru ini apabila beliau dikatakan mendakwa orang Melayu adalah pendatang di Malaysia dan orang India adalah antara yang terawal berada di Malaysia.

Mengulas lanjut, Rizam berkata seandainya Kula Segaran seorang yang beretika beliau perlu meletakkan jawatan sebagai menteri.

“Saya rasa beliau sewajarnya malu dan perlu letak jawatan, ini kerana beliau dilihat seperti orang yang tak faham sejarah, jadi seorang menteri tak faham sejarah tak layak jadi menteri,” katanya.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.