Dalam membangkitkan kebimbangan orang Melayu dan Islam “terancam” di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), pemimpin Umno menggelar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘mamak bendahara’ dan ‘si tua puaka’.

Bercakap di Himpunan Kebangkitan Melayu di Pekan Kampung Gajah di Pasir Salak, Perak malam tadi, Lokman mempersoalkan pelantikan bukan Muslim sebagai peguam negara yang menurutnya akan berkuasa untuk menyaman sultan dan raja.

“Peguam negara ada kuasa untuk dakwa, saman yang di-pertua negeri, sultan dan ada kuasa untuk dakwa Yang di-Pertuan Agong dalam mahkamah khas yang diwujudkan mamak bendahara, si tua puaka yang bernama Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Takkan kita nak diam? Kita harus bangkit. Betul?” katanya kepada ribuan hadirin sebelum melaungkan slogan “Hidup Melayu!” dan “hancur DAP”.

Kerajaan melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara pada Jun lalu.

“Pernah kita (BN) angkat seorang yang simpati kepada komunis? Pernah kita ambil orang rapat dgn ketua komunis Chin Peng? tak pernah. Pernah kita, selepas zaman British ambil bukan islam jadi peguam negara?” kata bekas calon BN PRK Sungai Kandis itu.

Untuk rekod, kerajaan Perikatan, iaitu gabungan asal BN, pernah melantik bukan muslim sebagai peguam negara dari 1959 ke 1963 bernama Cecil Majella Sheridan.

Lokman juga menyentuh pelantikan Richard Malanjum sebagai ketua hakim.

“Orang yang dilantik ada track record cukup jelas menentang Islam. Siapa dia? Tan Sri Richard Malanjum.

“Kenapa saya kata dia tentang Islam? Di malaysia ini orang Islam nak kahwin bukan Islam, bukan Islam kena masuk Islam. Richard Malanjum bila kawin dengan Marina Tiu anak Jaafar Tiu, dia tidak peluk agama Islam, sebaliknya Marina Tiu telah murtad dan kahwin dengan Richard Malanjum,” katanya.

Bagaimanapun, dakwaan Lokman itu tidak dapat disahkan kebenarannya.

Lokman juga mempersoalkan keputusan mahkamah yang dikendalikan Malanjum termasuk penukaran agama Lina Joy dan Indira Gandhi, serta mendakwa beliau menentang Islam.
Lokman juga menambah bahawa Malanjum akan berperanan memilih hakim dalam kes yang melibatkan kepentingan Islam.

“Adakah anda rasa selamat? Adakah kes itu menyebelahi kita? Kita Melayu ada sebab rasa resah. Itu sebab kita orang Melayu ada hak untuk bangkit, membantah, kita ada hak untuk berhimpun,” katanya sebelum menggunakan slogan “lawan tetap lawan”.

Himpunan itu dianjurkan oleh Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman. Penganjur mendakwa kira-kira 10,000 hadir.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.