Hanya kerana isteri sudah tidak menyayanginya, seorang lelaki nekad mahu terjun dari bumbung sebuah rumah inap desa di Jalan Alor Akar, Kuantan semalam.

Babak ‘lakonan’ lelaki itu yang berlaku kira-kira 3 petang itu menarik perhatian orang ramai untuk melihat dari dekat hingga menjadi viral di laman sosial.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dilihat duduk di atas bumbung rumah berkenaan dan beberapa kali mengugut untuk terjun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian pada 3.11 petang dan melihat lelaki tidak berbaju duduk di bahagian tepi bumbung rumah berkenaan.

Katanya, pihaknya cuba memujuk lelaki itu untuk turun namun tidak diendahkannya sebaliknya berulang kali berkata mahu mati dan mahu terjun dari bumbung berkenaan.

“Kita merapatkan jentera di tepi rumah untuk keselamatan dan bagi memudahkan anggota kita menghampirinya namun lelaki menghalang kita mendekatinya dan mengancam untuk terjun.

“Kita menggunakan khidmat anggota wanita dalam usaha memujuk lelaki itu kerana dia kelihatan sedikit agresif apabila anggota lelaki mendekatinya. Selepas lebih setengah jam, lelaki itu akhirnya termakan pujukan dan mula turun ke arah jentera kami,” katanya.

Menurutnya, selepas turun dari bumbung itu, lelaki berkenaan menuju ke bahagian hadapan jentera sambil berkata sesuatu kepada orang ramai sebelum bertindak terjun dari kenderaan itu namun pihak polis dengan pantas menyambutnya.

Kamerul Bieza berkata, lelaki itu bertindak demikian kerana dipercayai kerana tertekan dengan masalah keluarga yang dihadapinya.

LEAVE A REPLY