Tiga murid tahun dua sekolah rendah cedera selepas dilanggar kereta di lampu isyarat Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu semalam.

Kejadian jam 1.30 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika tiga murid lelaki itu tiba-tiba melintas jalan sambil berlari dari kanan ke kiri jalan.

Menurut sumber, pada masa sama, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi dari arah Kuala Terengganu menghala ke Dungun tiba di tempat kejadian.

“Difahamkan, tiga mangsa berlari di celah deretan kenderaan yang sedang berhenti kerana lampu isyarat merah untuk membelok ke arah Jalan Pejabat, di sini sementara laluan pemandu Perodua Myvi di lorong sebelah kiri adalah hijau untuk ke arah Bulatan Ladang.

“Sebaik melihat kehadiran tiga mangsa, lelaki terbabit sempat membrek, namun jarak yang dekat menyebabkan dia melanggar tiga murid terbabit,” katanya.

Semua mangsa yang berada dalam keadaan sedar dan cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah sebelum seorang daripada mereka ditahan untuk rawatan lanjut manakala dua lagi hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

LEAVE A REPLY