KLANG – PRK Dun Sungai Kandis disifatkan membawa makna yang cukup besar dalam perjuangan rakyat hari ini menerusi kepimpinan PH.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, biarpun PH telah melakar sejarah dengan memenangi 51 kerusi Dun di Selangor pada PRU14 lalu, kerusi Sungai Kandis tetap membawa pengertiannya yang tersendiri.
“Apa makna (Sungai Kandis)? Banyak dan ia beri makna yang besar. Kalau kepimpinan PH amalkan rasuah, menekan rakyat, tidak adil dan zalim, tak mungkin rakyat sokong kita pada PRU14 lepas.
“Tetapi kita mempunyai sebuah pentadbiran yang kuat, stabil dan adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, yang akhirnya rakyat beri sokongan besar sampai Adun dari Umno-BN tinggal empat kerat saja.
“Hari ini ada satu lagi pilihan, walaupun Umno main lagi ‘bagilah satu kerusi sahaja pun’, tapi kita tidak boleh beri walau satu kerusi pun kepada ‘perompak’,” katanya ketika berucap pada Grand Finale PRK Sungai Kandis di Taman Sri Andalas, malam ini.
Selain itu, Mohamed Azmin menyeru pengundi Sungai Kandis agar memilih calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada hari membuang undi esok.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan pengundi agar keluar mengundi seawal mungkin.
“Dibandingkan Ustaz Zawawi dengan calon sebelah sana, jelas kita letakkan calon yang lebih baik dengan rekod dan latar belakang yang cemerlang.
“Kita mahu Sidang Dewan Negeri Selangor nanti, suara rakyat Sungai Kandis akan kedengaran di dalam dewan yang akan dibawa oleh Ustaz Zawawi
“Saya juga nak ingatkan rakyat supaya undi awal-awal, jangan jadi macam PRU14 lalu bila lepas pukul 5 petang tak boleh undi. Saya juga letakkan harapan kita menang dengan majoriti lebih besar,” katanya.