“Maafi kami ahli keluarga di Malaysia,anak-anak murid baba (ayah) seluruh Malaysia dan serata dunia, sahabat handai taulan yang akrab yang jauh mahupun yang dekat, seluruh kepimpinan di tanah air, kami maklum baba disayangi ramai. Kami sedar, kami berkongsi baba dengan seluruh masyarakat yang turut sayangkan baba.”

Demikian antara bait-bait luahan perasaan yang dicatatkan oleh anak perempuan Allahyarham Datuk Dr Haron Din iaitu Dr Huda Haron berhubung ‘cakap-cakap’ mengenai tempat persemadian ayahnya,yang disemadikan di bumi Amerika Syarikat (AS) dan bukannya di tanah air.

Jelasnya keputusan yang mereka ambil itu terlalu berat, dan harapnya agar masyarakat memahami apa yang mereka sekeluarga putuskan.

“Sesungguhnya…Kami tidak akan izinkan sesiapa pun menyakiti jasad baba, tidak masa hayatnya.Dan tidak juga masa baba telah dijemput menemui-NYA.

“Berat sungguh keputusan yang terpaksa kami ambil untuk semadikan jasad baba di bumi asing bagi kami ini.Ketentuan ALLAH tidak dapat kami sanggah dan bertindak di luar batas insani dan kasih sayang.

“Tiga perkara yang sentiasa ALLAH jadikan teka teki penuh hikmah dalam bab kematian kita, 1) Bila, 2) Dimana, 3) Bagaimana. Bila masa dan ketikanya.Mana tempat ALLAH pilih untuk menjemput kita kembali.Bagaimana caranya,” katanya menerusi Facebook rasmi Datuk Dr Haron Din.

Berkata lanjut, Huda yang juga merupakan anak sulung Allahyarham berkata semasa hayat ayahnya, dia teringat suatu ketika hendak bawa mayat dari Kuala Lumpur ke Perlis pun ayahnya tidak izinkan.

“Inikan pula berejam malah berhari-hari dalam peti ais Pulak tu perlu melalui ’embalm’ yang pastinya menyeksakan segenap urat saraf, tak sakit?

“Siapa kata tak sakit? Siapa berani jamin kita tak merasa sakit tika tu? Tiada siapa yang melalui ajal maut dan kembali menceritakan bahawa jenazah tidak merasai sakit,” katanya.

Dalam pada itu tutur Huda lagi pihak keluarganya turut menghargai usaha pihak kerajaan terutamanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bersusah payah membantu mengaturkan pesawat persendirian.

“Terima Kasih kami hargai dan tersentuh.Kami sekeluarga merakamkan penghargaan atas keperihatinan Datuk Seri yang bersusah payah bertanya khabar dan menelefon sendiri mama. Juga berkali-kali bercakap sendiri dengan Balin jarak jauh melalui telefon,” katanya.

Namun ujarnya dia dan lima adik beradik yang lain termasuk ibunya sepakat, bulat dan tekad untuk menyemadikan ayahnya di sini (Livermore).

“Banyak kali kuliah dan pesanan baba. Perlu disimpan di mana tempat malaikat datang menjemputnya.Walaupun ramai yang telah menghulurkan bantuan untuk urusan dibawa pulang , tapi jangkamasa tujuh hari suatu yang tidak dapat kami terima untuk biarkan baba tanpa penghormatan dan kemuliaan yang sepatutnya.

“Hatta jika tanya hati kecil saya yang memang mementingkan diri sendiri, tentunya saya mahu baba dekat bersama-sama kita. Biar ingatan tidak padam sampai bila-bila kerana batu tandanya dekat dengan kita.

“Biar kita mampu ziarah hari-hari.Biar semua yang lain dapat ziarah berkali-kali.Biar ada depan mata.Itu kehendak kita dan saya rasa juga kehendak ramai lagi yang sayangkan baba.Tapi adakah keputusan itu tepat untuk baba?

“Menyegerakan pengendalian dan penyelenggaraan jenazah juga dituntut syarak. Kita rasa baba milik kita, sebenarnya baba milik ALLAH!!! Pantaskah kita melanggar perintah ALLAH atas alasan darurat dan menyiksa baba semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu kita?” katanya.

Katanya lagi, walaupun ayahnya disemadikan di bumi Amerika Syarikat namun bumi itu juga milik ALLAH.

“Maafi kami seluruh rakyat Malaysia, Kesemua ini pun milik ALLAH, Seluruh isi bumi hatta langit galaksi ni milik ALLAH.Bumi Amerika ni pun milik ALLAH.

Tuturnya lagi, namun dia juga percaya dan yakin bahawa perjalanan kematian ayahnya ini telah tertulis dan tersurat.

“Mungkin masih sukar kita menghayati segala yang tersirat di sebalik yang tersurat. Insya-ALLAH, suatu hari nanti jika kita berlapang dada membuka fikiran dan minda dan menjadikan agama di hadapan segala,maka tika itu ALLAH buka segala hikmah yang tidak terjangkau dek akal pendek kita.

“Maafi kami sekali lagi, Baa, kami akan usaha ziarah baba disini walaupun jarak seakan memisahkan kita tapi percayalah Baba, Baba tetap bertakhta dihati, takkan padam ingatan ini. Selamanya.Al-Fatihah untuk Baba tersayang,” tulisnya lagi.

Jenazah Allahyarham dimandikan dan dikafankan di Masjid An Noor Santa Clara pada jam 11.40 pagi (2.40 pagi waktu Malaysia).

Solat jenazah pula dilakukan selepas solat Jumaat kira-kira jam 2.21 petang (5.21 pagi waktu Malaysia) di Masjid Muslim Community Association yang diimamkan sendiri anak lelakinya, Hamidi Haron.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 10.05 pagi semalam pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat (AS) akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham disemadikan di bumi Carlifornia bersesuaian dengan amanatnya sebelum ini yang mahu disemadikan di tempat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Salleh dan lima cahaya mata.

LEAVE A REPLY