Kim Jong-nam dibunuh dengan senjata kimia paling berbahaya, agen saraf VX, bahan yang boleh membawa kematian serta-merta.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bahan kimia itu dikesan penyiasat pada mata dan muka mayat anak diktator Korea Utara, Kim Jong-il.

Bahan kimia itu, ethyl S-2-diisopropylaminoethyl methylphosphonothioate, disenaraikan sebagai senjata kimia di Malaysia, katanya.

Kenyataan pendek Khalid itu dikeluarkan pagi ini setelah mendapat hasil pemeriksaan Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia.

Menurut polis lagi, beberapa eksibit lain masih dalam proses analisis.

VX nerve gas dalam filem The Rock (1996) yang dilakonkan oleh Nicholas Cage

Mengikut laman perubatan, lapor Bernama, VX sejenis kimia sintetis yang menyerang sistem saraf.

Ia memilik bentuk cair dan berminyak, tidak berasa dan tidak berbau dan hanya 10 miligram sahaja pada kulit cukup untuk membunuh orang.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menyifatkan bahan ini “paling berkuasa” dalam semua agen kimia, lapor AFP.

Ia selalunya digunakan sebagai senjata kimia dalam peperangan.

Pada 13 Februari lepas, Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk penerbangan ke Macau.

Dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

LEAVE A REPLY