Permintaan daun ketum daripada syarikat farmasi di Eropah dan Amerika Syarikat ialah pasaran yang boleh diteroka dalam menjadikan tumbuhan itu alternatif kepada perubatan moden.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata ia selaras dengan cadangan pihaknya untuk menanam ketum bagi tujuan eksport.

“Saya sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan dan masyarakat. Sekarang terpulang, jika kita tolak, beberapa negara lain bersedia menanam ketum untuk memenuhi permintaan tersebut,” katanya mengenai cadangan tersebut yang ditolak pelbagai pihak.

Beliau berkata kajian mendapati ketum memiliki ramuan penting dalam pembuatan ubat bagi kegunaan musim sejuk.

“Mereka (negara lain) akan mempatenkan segalanya sebelum dipasarkan ke seluruh dunia dan kita perlu bertindak pantas dalam isu ini,” tambahnya.

Datuk Zahidi berkata selain Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, farmasi di Eropah dan Amerika Syarikat banyak membuat penyelidikan mengenai tumbuhan itu.

“Sekolah Menengah Sains Tengku Mohamad Jiwa, Sungai Petani (Kedah) pula mendapat anugerah peringkat Asian kerana membuat kajian mengenai ketum,” katanya.

Katanya lagi, ketum sejak zaman dahulu digunakan dalam perubatan tradisional untuk memulihkan tenaga, rawatan kolesterol, kencing manis dan cirit-birit.

“Masalah yang berlaku ialah terdapat segelintir orang yang mencampurkan air rebusan ketum dengan bahan lain seperti ubat nyamuk dan ubat gegat untuk menjadikan peminumnya merasa khayal.

LEAVE A REPLY