BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan kertas siasatan berhubung kes rasuah bernilai RM2.6 juta, yang membabitkan seorang Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Melaka masih belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Dalam satu kenyataan, SPRM menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa suruhanjaya itu kini sedang menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara berhubung kes berkenaan.
SPRM menjelaskan bahawa kenyataan yang dimaklumkan Pengarah SPRM Melaka, Abu Talib Othman seperti dilaporkan akhbar terbabit tidak merujuk kepada kes itu.
“Sebaliknya, kenyataan itu merujuk kes berlainan iaitu siasatan terhadap dua kes rasuah melibatkan dua kakitangan awam serta seorang kakitangan sektor swasta.
“SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berkaitan penerimaan wang rasuah bernilai RM2.6 juta melibatkan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Melaka itu masih di peringkat siasatan dan kertas siasatan masih belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak terlibat khususnya pihak media supaya tidak memutarbelitkan kenyataan itu kerana boleh menimbulkan kekeliruan, sekali gus menjejaskan reputasi dan kredibiliti suruhanjaya berkenaan dalam menjalankan siasatan.
Baru-baru ini, seorang Exco kerajaan negeri dilaporkan kini disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan nilai sebanyak RM2.6 juta.
Difahamkan, wang itu adalah jumlah imbuhan yang diminta daripada sebuah syarikat pembangunan di negeri berkenaan, berkaitan kerajaan Melaka.