Seorang lelaki yang keluar menonton perlawanan bola sepak di kedai berhampiran rumahnya, di Kuala Gris, Dabong terkejut apabila melihat ibunya dalam keadaan kaku, sudah meninggal dunia ketika pulang ke rumah, awal pagi semalam.

Mayat mangsa, Rohani Musa, 60, ditemui di ruang dapur rumah dalam keadaan kaki dan tangan terikat sementara mulutnya ditutup.

Mayat mangsa turut dibalut dengan kain berwarna hijau putih yang sebelum itu digunakan untuk menutup motosikal anaknya, Roseli Ab Rashid, 35.

BACA: Penyamun Bunuh Warga Emas Demi Motor RXZ

Bukan itu sahaja, barang kemas dan dompet milik mangsa turut hilang.

Mangsa tinggal bersama anak tunggalnya itu setelah kematian suami beberapa tahun lalu.

Roseli yang bekerja kampung berkata, sudah menjadi kebiasaannya keluar menonton televisyen di kedai berhampiran apabila ada perlawanan bola sepak.

“Semalam saya keluar pukul 9 lebih. Ketika itu emak sedang mengaji al-Quran yang sudah menjadi rutinnya pada setiap malam,” katanya.

Menurutnya, selesai menonton perlawanan bola sepak, dia segera pulang kerana bimbang keselamatan ibunya yang tinggal sendirian. Ketika itu kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun dia mula cemas apabila mendapati pintu rumahnya terbuka.

“Melihatkan pintu rumah terbuka, saya rasa tidak sedap hati serta yakin motosikal yang diletakkan dalam rumah hilang.

“Jangkaan saya tepat, motosikal saya hilang. Saya kemudiannya masuk ke rumah mencari emak,” katanya.

Menurutnya, dia semakin cemas kerana kelibat ibunya tidak kelihatan menyebabkan dia kembali semula ke kedai untuk meminta bantuan rakan mengesan ibunya.

“Saya ajak dua rakan datang ke rumah untuk mencari emak. Alangkah terkejutnya apabila menemui emak dalam keadaan tangan, kaki diikat serta mulut ditutup di bahagian dapur,” katanya.

Panik dengan kejadian itu, Roseli berkata, dia memaklumkan kepada penduduk kampung untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, sewaktu hendak keluar rumah emaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Bagaimanapun katanya, dua hari lalu, arwah ibunya beritahu dia teringin makan laksa dan memintanya membelikannya.

Namun, dia tidak sempat memenuhi kehendak arwah kerana laksa yang diingini sudah habis dijual.

“Dua kali saya pergi ke kedai untuk beli pesanan emak, tapi laksa penang habis,” katanya sebak.

Menurutnya, pada pagi kejadian arwah diserang asma, namun keadaannya pulih menjelang tengah hari.

Adik tahu kematian dari anak saudara

Sementara itu, adik mangsa, Zakiah Musa 55, berkata, berita kematian kakak sulungnya itu diketahui awal pagi semalam setelah diberitahu anak arwah.

Menurutnya, Roseli ke rumahnya yang terletak lebih satu kilometer dari rumah mangsa. Anak saudara (Roseli) datang rumah beritahu emak dia telah meninggal.

“Saya yang terkejut dengan berita disampaikan terdiam seketika sebelum memaklumkan berita kematiannya kepada keluarga yang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Hospital Kuala Krai, tengahari semalam.

Zakiah berkata, kali terakhir dia bertemu arwah bulan lalu ketika tahlil suaminya.

Menurutnya, Allahyarham sempat bermalam di rumahnya selepas tahlil.

“Sempena tahlil arwah suami, saya ada membeli beberapa naskhah al-Quran untuk dihadiahkan kepada penduduk. Arwah minta al-Quran dari saya jika ada lebih,” katanya.

Zakiah berkata, rumah kakaknya terletak beberapa meter dari rumah jirannya selain berada berhampiran dengan estet.

Dalam pada itu, sepupu mangsa, Hashim Yaakob, 60, tidak menduga arwah mati dibunuh.

Menurutnya, dia jarang berjumpa arwah kerana jarak tempat tinggal mereka.

“Saya tinggal di Tualang, jadi kami terlalu jarang berjumpa. Saya tidak sangka dia mati dibunuh. Semoga pelakunya ditangkap dan diadili secepat mungkin,” katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat.

LEAVE A REPLY