KUALA LUMPUR – Walaupun gagal menunaikan 10 janji dalam tempoh 100 hari manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berpendapat, tiada keperluan untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) memohon maaf kepada rakyat.
Beliau yang juga Presiden PH berkata, ini kerana kerajaan tetap komited menunaikan kesemua janji itu dan telah berusaha sedaya upaya melaksanakannya dalam tempoh tersebut.
Menurut beliau, antara janji yang berjaya ditunaikan adalah pemberian insentif menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah di bawah Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang telah diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat, minggu lalu.
“Tidaklah. Memang tidak seperti yang kita harapkan namun kita sudah cuba sedaya-upaya sekurang-kurangnya di kementerian saya sudah buat EPF SURI, saya sudah berjaya mempromosi dan menjalankan program tersebut.
“GST memang susah sekali, sekarang ini kita nak buat supaya kita mampu menampung keperluan dan menangani ekonomi negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE