Berita Utama

Kerajaan PAS Terengganu sedia terima Dr Nur Ilyani

By Faizul Lazim

August 15, 2018

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu sedia mempertimbangkan jawatan untuk Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi sekiranya pegawai perubatan itu dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja.

Ia susulan surat terbuka Dr Nur Ilyani yang mengkritik aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, Dr Nur Ilyani yang kini bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu, Kelantan akan ditawarkan berkhidmat di hospital milik anak syarikat kerajaan negeri sekiranya beliau hilang jawatan kerana isu itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengikuti perkembangan Dr Nur Ilyani yang dikatakan bakal dikenakan tindakan tatatertib oleh Kementerian Kesihatan selepas menulis surat terbuka di Facebook kepada Marina mengenai pandangannya berhubung LGBT.

“Jika Dr Nur Ilyani dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja selepas surat terbukanya diadukan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA), kerajaan negeri sedia mempertimbangkan jawatan untuk beliau bertugas di hospital milik anak syarikat kerajaan negeri,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi

Dr Nur Ilyani melalui surat terbukanya kepada Marina menerusi Facebook pada 6 Ogos lalu memberi pandangan tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad ketika merasmikan Seminar Perubatan Integratif di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di Kota Bharu semalam dilaporkan berkata, setakat ini tiada sebarang tindakan tatatertib akan diambil terhadap Dr Nur Ilyani susulan isu surat terbukanya yang mengkritik Marina.

Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, tulisan Dr Nur Ilyani adalah pandangan peribadi dan pihaknya akan mengambil perhatian sebelum membuat sebarang keputusan.

Ketika mengulas lanjut pendirian kerajaan negeri mengenai LGBT, Dr Ahmad Samsuri menegaskan tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas pelaku.