KUALA LUMPUR: Status keputusan rayuan permohonan UPUOnline sesi akademik 2018/2019 ke Universiti Awam (UA)/Politeknik Premier lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kemasukan program pengajian Asasi dan Diploma, boleh disemak mulai hari ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini, keputusan rayuan itu boleh disemak mulai jam 12 tengah hari ini menerusi saluran UPUPocket, khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 atau lima laman sensawang iaitu (https://jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, http://jpt.ums.my, https://jpt.umt.edu.my).

Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di UA atau Politeknik Premier.

Pemohon yang berjaya dikehendaki membuat semakan di laman web UA/Politeknik Premier untuk mendapatkan maklumat tawaran dan pendaftaran kerana tempat adalah muktamad.

Sebarang permohonan pertukaran adalah tidak dibenarkan, termasuk tiada rayuan boleh dibuat melalui UPUOnline.

Sebelum ini, permohonan rayuan UPUOnline sesi Akademik 2018/2019 bagi kemasukan pelajar ke UA atau Politeknik Premier diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dibuka pada 21 Mei dan ditutup pada 25 Mei lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, BPKP JPT Kementeri Pendidikan akan membuka kaunter khidmat runding cara permohonan kemasukan ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) di Ruang Legar, Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya mulai hari ini hingga 11 Jun 2018.

Kaunter khidmat runding akan dibuka mulai jam 8.30 pagi hingga 4 petang iaitu pada Isnin hingga Jumaat, bagi memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara dengan lebih jelas.

Pemohon juga boleh menghubungi talian hotline 03-8870 8200 untuk bantuan dan penerangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.