Sukan

Kelantan bakal turun Liga Perdana?

By Faizul Lazim

July 20, 2018

JOHOR BAHRU 20 Julai – Hasrat Kelantan untuk kekal bersaing dalam kancah Liga Super musim depan semakin kabur selepas tumpas 4-0 di tangan juara lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Kekalahan tersebut menyaksikan The Red Warriors terus berada di kedudukan tercorot dan hampir turun ke Liga Perdana musim depan selepas hanya mengutip 15 mata daripada 20 perlawanan, berkongsi mata dengan Negeri Sembilan.

Beraksi di hadapan kira-kira 22,120 penonton, pasukan tuan rumah dilihat tenang mengatur gerakan, manakala pasukan Kelantan lebih bersungguh-sungguh mempamerkan disiplin permainan yang tinggi untuk mencari gol awal.

Dua gol yang dijaringkan dalam tempoh 10 minit pada babak kedua masing-masing dihasilkan oleh Fernando Elizari dan Mohd. Afiq Fazail pada minit ke-50 dan ke-55 melunturkan semangat juang skuad kendalian Yusri Che Lah untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Kedudukan itu menjadikan permainan The Red Warriors serba tidak menjadi, manakala JDT lebih bersemangat untuk menambah jaringan bagi menambahkan kemeriahan malam gemilang buat Harimau Selatan menjulang trofi Liga Super.

Safawi Rasid menambah derita Harimau Selatan apabila meledak gol ketiga untuk pasukan tuan rumah menerusi sepakan sudut yang diambil oleh Safiq Rahim pada minit ke-79.

Pada minit ke-85, JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah S.Kunanlan dijatuhkan dalam kotak penalti dan Safiq tenang menyudahkan peluang tersebut memperdayakan penjaga gol lawan.

Skuad bimbingan Raul Longhi itu mengesahkan kejuaraan setelah menundukkan Perak 2-1 di Stadium Ipoh pada 10 Julai lalu ketika saingan masih berbaki empat perlawanan. – UTUSAN ONLINE