Kuala Terengganu – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan putus jari telunjuk tangan kirinya dipercayai terjatuh ketika berada di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), Hulu Terengganu, Rabu lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa yang baru sahaja dua minggu dihantar ke Taska terbabit dikatakan memanjat sofa yang diletakkan di tepi dinding di salah satu sudut di dalam Taska.

Mangsa dikatakan berbuat demikian kerana ingin mengambil alat permainan yang diletakkan di atas rak besi sebelum tangannya dipercayai tersepit pada celah rak besi tersebut.

Bagaimanapun, semasa kejadian, guru taska dan pembantu berada di dalam bilik bersebelahan sebelum masing-masing bergegas keluar mendapatkan kanak-kanak itu selepas terdengar jeritan mangsa yang kesakitan.

Jari mangsa hanya dapat dikeluarkan kira-kira 10 minit kemudian sebelum kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Sementara itu, bapa mangsa, Amran Mahari, 42, berkata, kemalangan menimpa anaknya hanya diketahui ketika berada di pejabatnya sebelum menerima panggilan telefon daripada pihak Taska memaklumkan anaknya terpaksa dihantar ke hospital.

“Pada mulanya, saya tidak menyangka kemalangan itu begitu serius sehingga menyebabkan jari anak saya putus, bagaimanapun, saya menerima semuanya sebagai satu takdir.

“Tetapi sekiranya selepas siasatan mendapati terdapat unsur-unsur kecuaian pihak Taska, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sebagai satu pengajaran kepada pihak terbabit, agar kejadian sama tidak akan berulang lagi kepada anak-anak lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Jelas Amran, dia bersama isterinya, Siti Mariam Ismail, 36, kini sedang menunggu laporan perubatan berhubung tahap kecederaan anaknya dan masih berharap jari yang terputus itu boleh disambung balik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib yang turut meluangkan masa melawat mangsa meminta semua taska dan tadika di seluruh negeri mengkaji semula prosedur keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Sepatutnya semua taska dan tadika mesti mengambil kira aspek kemungkinan berlaku kemalangan terutama dari segi susun atur barang, lebih-lebih lagi barang yang boleh mendatangkan kecederaan, sewajarnya dijauhkan dari jangkauan kemampuan kanak-kanak ini,” katanya.

Kanak-kanak malang itu kini ditempatkan di Unit Kanak-Kanak hospital berkenaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

LEAVE A REPLY