IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang mengalami keracunan makanan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung, semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ding Lay Ming berkata, kanak-kanak dari Kampung Changkat Chermin, Ayer Tawar itu bersama enam ahli keluarga lain mengalami gejala seperti sakit perut, cirit birit, muntah, dehidrasi, keletihan dan demam selain seorang mengalami sawan.

Bagaimanapun katanya, hanya empat kes telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut termasuk kanak-kanak berkenaan.

“Gejala bermula antara pukul 1 hingga 5 pagi Jumaat lalu dan kesemua mereka mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada hari sama.

“Empat kes telah dimasukkan ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut. Salah seorang kes iaitu kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun meninggal dunia kerana mengalami komplikasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut beliau, kes lain yang dimasukkan ke wad kini berada dalam keadaan stabil dan beransur pulih.

Katanya, siasatan dan verifikasi di fasiliti kesihatan di sekitar lokasi gerai-gerai makanan di tepi jalan Simpang Gelung Pepuyu, dan Bazaar Ramadhan di Titi Gantung mendapati tiada peningkatan kejadian kes Acute Gastroenteritis dan Keracunan Makanan dikesan sejak 31 Mei hingga kini.

“Kes ini adalah kejadian terpencil dan hanya melibatkan keluarga ini sahaja. Punca sebenar kejadian ini masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.