SATU replika kapal persiaran mewah Titanic sepanjang lapan meter telah berjaya dihasilkan oleh seorang kanak-kanak autistik menggunakan 56,000 kepingan Lego.

Brynjar Karl Birgisson, 15, dari Reykjavik, Iceland mempamerkan hasil karyanya itu di Muzium Titanic di Pigeon Forge, Tennessee, Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan media tempatan, Birgisson mula membina replika itu ketika berusia 10 tahun menggunakan pelan tindakan (blueprint) yang dilukis bersama datuknya yang merupakan seorang jurutera elektrik.

Anak istimewa yang dikenali sebagai ‘Lego Boy’ itu berkata, dia mengambil masa selama 700 jam, iaitu lebih daripada 11 bulan, untuk menyiapkan replika itu sepenuhnya.

“Pengalaman ini membantu saya keluar dari golongan autisme dan saya telah berusaha sedaya upaya untuk melatih diri menjadi seperti kanak-kanak normal yang lain.

“Pada saya, ia menjadi satu obsesi serta membuktikan kepada masyarakat bahawa kanak-kanak autistik juga mempunyai kelebihan kerana tidak semua orang mampu melengkapkannya menjadi sebuah kapal, menggunakan Lego.

“Saya juga menganggap, tiada yang mustahil jika kita percaya pada diri sendiri dan ada pelbagai cara untuk memberi sumbangan kepada negara,” tambahnya.

Sementara itu, kenyataan muzium menyebut, rekaan itu adalah yang terbesar seumpamanya di dunia.

Menurutnya, pihaknya menerima sepucuk surat daripada ibu Birgisson, Ludviksdottir untuk memperkenalkan model yang direka oleh anaknya.

Anak istimewa itu dilaporkan telah membelanjakan sebanyak AS$8,100 (RM32,000) sumbangan daripada rakan-rakan dan keluarga.

“Terima kasih kepada keluarga kerana banyak memberi sokongan kepada saya walaupun selalunya kanak-kanak istimewa seperti saya dianggap menakutkan,” kata Birgisson.

Kapal Titanic merupakan kapal persiaran mewah yang terbesar di dunia yang dilaporkan karam pada 14 April 1912 selepas merempuh apungan ais gergasi di Lautan Atlantik ketika melalui pelayaran sulungnya dan ditemui semula pada tahun 1985.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here