Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menafikan menerima permohonan bantuan basikal daripada jaguh berbasikal negara Azizul Hasni Awang sebagai persediaan untuk beliau menghadapi Sukan Olimpik di Rio, Brazil.

Pengarah MSNT Ibni Amin Busu berkata sepanjang pengetahuannya, beliau tidak pernah menerima surat permohonan daripada Azizul malah langsung tidak mengetahui mengenai permohonan itu.

“Saya tidak pasti dan setakat ini saya tidak tengok lagi surat permohonan itu. Nantilah saya dapatkan maklumat dahulu mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada atlet Sukma Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Azizul yang mengatakan Ahmad Razif tidak membantu membelikan basikal ‘roadbike’ untuk beliau dan seorang lagi atlet berbasikal, Fatihah Mustafa sebagai persediaan ke Olimpik Rio menerusi laman Facebook ‘Jojo Knoxville’ sejurus beliau berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara Keirin, kelmarin.

Ahmad Razif pula dalam kenyataan balasnya semalam mengarahkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menyiasat dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Ibni Amin berkata kerajaan negeri telah menyampaikan insentif sebanyak RM5,000 kepada Azizul Hasni yang diambil oleh wakilnya (ibu beliau) kerana berjaya mewakili negara dalam acara sukan berbasikal di temasya Olimpik Rio.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau berkata MSNT mengadakan tandatangan perjanjian persefahaman dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi membantu atlet negeri itu memasuki pusat pengajian tinggi berkenaan.

“Selain itu UniSZA akan membantu khusus kepada atlet Terengganu seperti dari segi fisioterapi, pemakanan dan sebagainya,” katanya.

LEAVE A REPLY