Allah memperlihatkan kebesaranNya apabila kain kafan dari tiga buah pusara di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk ditemukan dalam keadaan masih elok walaupun sudah hampir 16 tahun jenazah disemadikan.

Tiga buah pusara tersebut antara yang rosak teruk dipukul arus deras termasuk air bertakung di kawasan berkenaan ekoran ekoran hujan lebat sejak Jumaat lalu.

Kejadian itu disedari oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Ismaili Tumpat, Mazlan Besar, ketika menjalankan kerja gotong-royong membaik pulih kawasan perkuburan itu hari ini.

Mazlan berkata, kejadian kejadian tersebut merupakan salah satu bukti kebesaran Allah yang ditunjukkan kepada manusia.

Menurutnya, sebaik sahaja melihat kebesaran Allah itu, dia terus menimbus semula kain kapan jenazah terbabit dalam keadaan sempurna seperti sebelum ini.

“Itu semua sebahagian daripada tanda kebesaran Allah, walaupun sudah 16 tahun dikebumikan namun kain kafannya masih berada dalam keadaan elok,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan arus deras air yang bertakung dan kemudian mengalir di kawasan berkenaan telah menyebabkan lebih 100 kubur rosak.

Aliran deras itu menyebabkan empat keranda yang ditanam bersama jenazah timbul selepas pasir liang lahad itu turut terhakis sedalam 1.2 meter.

Sementara itu, Penghulu Kampung Kubur Datuk, Rosli Mohd. Nor berkata, tanah perkuburan itu sudah mencecah usia 100 tahun dan bercampur dengan jenazah lama serta baharu.

Katanya, dia bersyukur kerana musibah yang berlaku mendapat perhatian ramai orang.

“Ada yang bukan sahaja menyumbangkan tenaga tetapi wang tunai, pasir serta makanan untuk menjayakan gotong-royong menimbus semula pusara rosak,” ujarnya.

LEAVE A REPLY