KUALA LUMPUR: UMNO disaran memberi keterangan kepada pihak polis jika benar ada antara barangan rampasan termasuk wang tunai melibatkan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah milik parti itu, ujar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya belum dapat mengenal pasti pemilik barangan rampasan yang dibuat di enam premis melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan.

“Kita tidak akan dapat tahu (sama ada rampasan ada wang UMNO) sebab dekat situ tidak ditulis daripada UMNO. Jika mereka mahu mengatakan rampasan itu ada wang UMNO, maka kami akan mengambil keterangan dari mereka. Jadi, tunjukkan pada kita,” katanya dalam sidang media khas mengenai pendedahan rampasan barangan melibatkan kes 1MDB di Menara KPJ di sini, hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Umno menerusi satu kenyataan media mendakwa sejumlah RM130 juta wang yang dirampas di Pavilion Residences, di Bukit Bintang bukan milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya milik parti itu.

Menurut kenyataan itu, wang yang disebut dana itu dirampas polis semasa ia dalam proses dipindahkan kepada pimpinan baharu Umno.

“Adalah dukacita dimaklumkan bahawa baki sumbangan kempen dan dana parti telah dirampas semasa dalam proses dipindahkan selepas peletakan jawatan Datuk Seri Najib sebagai Presiden Umno dan BN,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Pada 23 Mei lalu, polis berjaya mengira 35 beg berisi hampir RM120 juta wang tunai, melibatkan pelbagai mata wang yang dirampas dalam penggeledahan di Pavilion Residences, di Bukit Bintang.

Beg mengandungi duit itu adalah antara 284 kotak yang diisi dengan beg tangan berjenama, jam tangan, barang kemas dan wang tunai dalam pelbagai mata wang.

Penggeledahan itu adalah sebahagian daripada siasatan polis ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.