Negeri yang terkenal dengan jelapang padi iaitu negeri Kedah sering dikatakan mempunyai harga makanan yang murah dan rasa yang sedap.

Perkara itu dibuktikan dengan nasi lemak berharga hanya RM0.70 sen yang dijual di Kedai Pak Mak Kopi, Jalan Sultanah Sambungan, Alor Setar.

Memulakan perniagaan sejak 1994, Ahmad Kp Abdullah, 58, juga terkenal dengan nama Pak Mat Kopi menyediakan pelbagai menu nasi lemak dengan hanya RM0.70 sen.

Ahmad Kp Abdullah

“Setiap hari, kira-kira 150 bungkus nasi lemak dijual di gerai kami yang beroperasi di Taman Wira Blok B seawal jam 5 pagi hingga 12 tengah hari untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Antara menu yang terdapat di kedai kopinya adalah nasi lemak ayam, nasi lemak udang, nasi lemak bilis telur serta bihun dan mi goreng yang masih mengekalkan harga yang sama sejak beberapa tahun.

Menurut Pak Mat, ketika memulakan perniagaan dahulu harga makanan di gerainya sekadar RM0.50 sen sebungkus dan dinaikkan kepada RM0.70 sen dan beliau tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan harga dalam waktu terdekat ini.

Seorang pelanggannya, Dol Mohammad, 47, turut mengakui harga nasi lemak Pak Mat ini adalah antara yang termurah di Alor Setar dan sukar untuk mencari nasi lemak dengan harga sedemikian.

Bagi Dol, nasi lemak di gerai Pak Mat ini bukan sahaja murah bahkan rasanya juga sedap dan boleh jadikan sarapan yang sesuai untuk penduduk tempatan.

LEAVE A REPLY