Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Piala AFC dengan langkah kanan selepas menewaskan pendatang baharu, Beoungket Angkor FC 3-0 pada aksi Kumpulan F di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekurang-kurangnya mengubat kekecewaan mereka selepas rekod tanpa kalah dalam 25 perlawanan Liga Super, lebur di tangan Perak, Sabtu lalu.

Malah, skuad bimbingan Benjamin Mora tidak menunggu lama untuk merobek gawang kelab Kemboja itu apabila gerakan menarik Gabriel Guerra dari bahagian kiri pada minit kedua menghasilkan jaringan.

Ia bermula dengan pemain Argentina itu menggelecek tiga pertahanan lawan dan mengumpan kepada Safiq Rahim.

Kapten JDT itu kemudian menolak semula bola kepada pemain import dari Argentina berkenaan, yang kemudian merembat kencang menewaskan penjaga gol, Sou Yaty.

Gabriel Guerra

Skuad Harimau Selatan hanya memerlukan 10 minit untuk menggandakan jaringan.

Tersentak dengan dua gol JDT itu, anak didik McGylinn mula mengasak ke kubu tuan rumah dan hampir merapatkan jurang gol pada minit ke-21 selepas bola umpanan Rous Samoeun disambar Hikaru Mizuno.

Namun, tiang gol sebelah kiri menjadi penyelamat ketika penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, JDT terus mengasak kubu pelawat tetapi gerakan menarik Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-51 gagal disudahkan dengan jaringan.

Selang dua minit kemudian, bola lorongan Guerra tepat kepada Safiq tapi bola rembatan di dalam kotak penalti hanya sipi dari pintu gol ketika Yaty sudah tertewas.

Guerra yang menjadi duri dalam daging kepada Beoungket Angkor FC hampir mencipta gol kedua peribadi pada minit ke-59, namun bola rembatan deras tepat itu berjaya diselamatkan.

Ketika aksi berbaki seminit, Safiq menanduk masuk hasil umpanan pemain gantian Gonzalo Cabrera untuk kemenangan memihak skuad Harimau Selatan.

Johor Darul Ta’zim vs Beoungket Angkor (AFC Cup 2017: Group Stage)

LEAVE A REPLY