PUTRAJAYA – Satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh golongan ulama dan tidak mempunyai latar belakang dalam bidang agama akan ditubuhkan bagi membincangkan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kumpulan tersebut akan berbincang sama ada peranan Jakim dikekalkan atau pun dibubarkan sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk memelihara agama Islam di negara ini.

“Kita akan menentukan bahawa Islam yang diamalkan di negara ini tidak digambarkan sebagai zalim, keras dan tidak bertimbang rasa dan ini bukanlah agama Islam kerana banyak larangan dalam Islam tidak diamalkan kita.

“Sebaliknya kita fikir cara lain yang tidak datang daripada Islam yang kononnya menunjukkan Islam sebuah agama yang keras dalam pelaksanaannya dan perkataan lain kita lebih suka memaksa daripada ajaran Islam sedangkan dalam al-Quran tiada paksaan dalam Islam,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Antara yang hadir pada mesyuarat Kabinet ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri ketika ditanya mengenai desakan untuk membubarkan Biro Tata Negara (BTN), beliau menjelaskan, perkara tersebut masih lagi dalam kajian kerajaan. – K! ONLINE

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.