Shah Alam – Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi BN Parlimen itu kepada Tan Sri Noh Omar.

Menerusi satu surat rasmi bertarikh 7 Februari, Jamal yang juga merupakan Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah berkata, tindakannya itu bagi menjaga nama baik parti.

“Saya telah ditangkap oleh polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun, hasil daripada tangkapan itu saya telah dikenakan reman lima hari, kes ini telah menjadi tajuk utama akhbar.

“Dalam hal ini saya percaya kes ini telah menjejaskan nama baik parti dan kepimpinan tertinggi parti khasnya di Selangor, sebagai ahli yang menyayangi parti yang banyak berjasa kepada rakyat saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya diatas kejadian tersebut dan berhasrat meletakkan jawatan,” katanya dalam surat rasmi berkenaan.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, beliau menyerahkan keputusan itu kepada Pengerusi Umno Selangor dan nekad menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat.

“Saya akan patuh dengan apa jua keputusan yang akan dibuat pucuk pimpinan parti,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY