Ketua Umno Sungai Besar yang sedang dikehendaki polis hari ini muncul dan menegaskan dia bukan seorang penakut.

Malah Datuk Seri Jamal Md Yunos membayangkan dia akan tampil dan menyerah diri kepada polis – dengan syarat dia dipilih menjadi ketua Pemuda Umno Malaysia.

Dalam kenyataan dikeluarkan melalui klip video ringkas hari ini, Jamal, 48, berkata dia berada dalam keadaan sihat dan tidak melarikan diri ke luar negara seperti didakwa sesetengah pihak.

“Gua masih lagi dalam keadaan sihat wal afiat, dan masih lagi berada di dalam nengara, sekitar dalam kawasan saja,” katanya.

Tidak dapat dipastikan di mana rakaman video berkenaan dibuat, malah latar belakang Jamal bercakap itu juga diletakkan tabir berwarna biru.

Jamal yang terkenal dengan pelbagai aksi pegun – termasuk bertuala di depan bangunan pusat pentadbiran kerajaan Selangor di Shah Alam – dikehendaki polis kerana disiasat berhubung sembilan kes yang dikaitkan terhadapnya.

Dia melarikan diri semasa proses ikat jamin dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.

Jamal didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan sekretariat kerajaan negeri Selangor.

Jamal juga disiasat bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

Mahkamah Majistret Shah Alam kemudian mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal pada 8 Jun. Polis percaya Jamal melarikan diri ke negara jiran menggunakan ‘laluan tikus’.

Walaupun begitu Jamal menjadi salah seorang calon bagi merebut jawatan ketua Pemuda Umno yang ditinggalkan Khairy Jamaluddin. Calon lain yang bersaing ialah Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun dan bekas timbalan menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata Jamal dia akan hadir ke balai polis sehari selepas disahkan menjadi ketua Pemuda Umno.

“Don’t worry, besok gua menang ketua Pemuda Umno Malaysia, lusa gua datang balai. No problem, gua tak cabut, gua tak lari. Gua steady punya kaki,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.