“Jaga adik-adik, kamu kena jaga madrasah dan kamu kena jaga al-Quran.”

Itu pesanan terakhir Allahyarham Ustaz Syed Mohd Fadzli Syed Ahmad Al-Yamani kepada anak sulungnya, Mohd Abdurrahman Syed Mohd Fadzli, 20.

Pesanan yang sememangnya sering meniti di bibir penceramah mingguan radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) disampaikan kepada anak sulung daripada 17 adik-beradik itu kali terakhir diungkapkan kira-kira enam hari lalu.

“Dalam masa enam hari lepas. Tapi pesanan itu selalu Allahyarham sampaikan kepada saya,” kata Mohd Abdurrahman ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Mohd Abdurrahman memberitahu yang keluarga belum memutuskan lokasi jenazah akan dikebumikan.

“Belum tahu lagi. Jenazah baba tidak dapat dikebumikan di China. Isunya adalah peraturan kerajaan China.

“Kami mengucapkan terima kasih banyak kepada kedutaan Malaysia di China kerana bertungkus lumus menguruskan jenazah dan memberi kenyataan yang begitu jelas kepada kami.

“Tidak dapat tidak, jenazah baba perlu dibawa pulang sebelum Jumaat,” katanya.

Allahyarham yang juga seorang daripada pakar rujuk bidang fekah meninggal dunia akibat serangan jantung di China, tengah malam tadi.

Allahyarham rebah ketika menunggu bas untuk pergi ke hotel dipercayai serangan jantung.

Mohd Abdurrahman bersama Allahyarham bapanya dengan 27 jemaah rombongan lain ke China sejak 21 September lalu untuk berjumpa dengan tokoh ilmuwan Islam dan dijadualkan pulang ke Malaysia esok.

Allahyarham memiliki lebih daripada 15 pusat tahfiz di seluruh negara termasuk di Selatan Thailand dan lawatannya ke Guangzhou antara lain untuk mengembangkan pusat tahfiz di wilayah itu.

LEAVE A REPLY