Rakyat diharap memberikan keyakinan serta kepercayaan kepada kerajaan dalam menangani isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, rakyat juga diminta peka kerana semua isu 1MDB secara tidak langsung berkaitan dengan maruah dan kehormatan negara.

“Janganlah kita sebagai rakyat memutarbelitkan semua ini hingga menyulitkan lagi keadaan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas tidak akan berkompromi dengan sesiapa dalam isu ini, jika dakwaan sebagaimana DOJ nyatakan itu mempunyai asas atau bukti.

“Malah kenyataan Perdana Menteri berkaitan isu ini di mana kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada DOJ serta menghormati undang-undang yang berkenaan sudah jelas dan nyata membuktikan ketegasan serta keterbukaan beliau dalam hal ini,” katanya.

1MDB dalam satu kenyataan sebelum ini menafikan ia adalah pihak yang berdepan saman sivil oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Syarikat itu menegaskan, ia tidak mempunyai aset di Amerika atau mendapat manfaat daripada pelbagai transaksi seperti yang digambarkan menerusi saman sivil berkenaan.

1MDB menambah, sehingga kini ia tidak dihubungi DOJ atau mana-mana agensi asing berhubung siasatan mereka.

Dalam pada itu Shamsul menjelaskan, biarlah proses undang-undang berjalan sebagaimana sepatutnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Seri Najib selaku ketua kerajaan

“Adalah tidak adil kita terus menghukum pihak tertentu tanpa terlebih dahulu melihat keputusan melalui proses yang sepatutnya dikeluarkan.

“Malah lebih tidak adil apabila pihak tertentu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tiba-tiba terus mengheret dan menuduh Perdana Menteri dengan tuduhan yang tidak sepatutnya malah lari dari fakta sebenar berkaitan perkara ini.

“Menuduh Datuk Seri Najib terlibat sedangkan ia langsung tiada kaitan, adalah sangat tidak adil. Pimpinan Pakatan Harapan termasuk Tun Mahathir mesti berfikiran rasional dalam isu ini.

“Menuduh serta memutar belit isu ini menampakkan seolah olah perkara telah dirancang oleh pihak tertentu,” ujarnya.
Kata Shamsul lagi, di samping kerajaan berkerjasama terhadap perkara ini, rakyat juga mesti berhati-hati dan memastikan tidak ada pihak yang cuba masuk campur tangan di dalam politik negara.

“Saya begitu hairan bagaimana Tun Mahathir telah membelakangkan segala prinsip yang dijunjung dan dinyatakan sepanjang 22 tahun memimpin negera.

“Sangat jelas sikap dan pendiriannya terhadap AS telah begitu berubah berbanding dahulu,” jelasnya.

LEAVE A REPLY