PETALING JAYA: Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, yang maut dalam kebakaran di rumahnya Jun lalu, direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes.

Turut direman bagi tempoh sama ialah bekas suami kepada wanita berkenaan yang juga Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD).

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek yang berusia 43 tahun itu.

Siasatan terhadap bekas pasangan suami isteri itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, wanita yang memakai baju kurung berwarna hitam dan bekas suaminya yang memakai baju ungu tiba di mahkamah pada jam 11 pagi dan dia yang diiiringi anggota polis keluar dari bilik reman 12.20 tengah hari.

Suspek wanita yang juga Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu kelihatan muram di dalam bilik reman.

Sebelum ini, wanita itu pernah menyelar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat dakwaan tidak benar mengenai kes kematian mengejut suaminya yang kemudian diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Sementara itu, pihak JBPM berkata, keputusan yang diumumkan pihaknya mengenai kematian Nazrin adalah berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.

Media melaporkan sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau sisi katil meletup semasa dicas mungkin menjadi punca kebakaran di bilik tidur yang mengorbankan Nazrin.

Nazrin terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres 2 tingkat beliau di Mutiara Damansara dan berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap.

Tubuh mangsa turut melecur akibat kejadian itu.

Cradle Fund, syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan di negara ini.

Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.