Datuk Ismail Kassim merafak sembah kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merayu untuk tidak melantik dirinya dan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar Perlis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang itu sebaliknya mencadangkan lapan lagi ADUN BN dilantik sebagai menteri besar.

“Kita merayu tuanku untuk memberi pertimbangan terakhir kepada kami semua, bukan Ismail Kassim bukan Azlan Man selain daripada itu, 8 daripada ini.

“Saya cadang lapan daripada kawan saya, tak ada masalah nak pimpin negeri, walaupun orang baru tapi asalkan bukan saya dan Azlan Man,” katanya dalam medianya di Hotel Seri Pacific bersama lapan ADUN yang lain.

Katanya, perancangan melantik MB di kalangan lapan ADUN yang lain demi memperbetulkan keadaan dan taat setia kepada Raja Perlis tidak pernah berubah.

Ismail turut berkata, tindakan itu dibuat kerana tidak mahu dilihat sebagai gila kuasa kerana dinamakan oleh abangnya Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar, atas) sebagai calon menteri besar BN.

“Saya tak mahu dikatakan gila kuasa, saya tak mahu arwah bapa saya dalam kubur tersentak-sentak dengan perbuatan yang tak berkhemah di permukaan muka bumi, saya tak mahu macam itu demi untuk ayah saya,” katanya.

Hari ini, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dengan tindakan sembilan ADUN BN yang tidak menghadiri istiadat angkat sumpah jawatan menteri besar hari ini.

Baginda kecewa kerana semua ADUN terbabit berada di Perlis ketika jemputan dihantar kepada mereka dua hari lalu.

Walaupun daripada parti sama, kesemua ADUN BN Perlis hari ini memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, di Istana Arau.

Baginda turut bersyukur Azlan akhirnya mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis, walaupun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah berakhir dua minggu lalu.

Mengulas lanjut, Ismail turut menyatakan sebab mereka menolak Azlan sebagai menteri besar Perlis.

“Orang marah dia jadi ADUN Pauh, Arau, dia tak jaga kawasan ini tinggal kawasan itu dan pindah kawasan baru.

“Orang tahu rekod dia di Pauh tak jelas dan mencuba di kawasan baru sekarang. Di bahagian dia gagal, macam mana kita bagi seorang ketua bahagian yang gagal untuk mengetuai negeri,” katanya.

Ismail turut menuduh Azlan seorang yang tidak boleh ditegur.

“Dia tak boleh ditegur, anda boleh tanya siapa-siapa yang berurusan dengan dia, boleh tanya. Dia tak boleh terima pendapat, dengan semua orang,” katanya.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.