PENYANYI Ismail Izzani mengakui emosinya terganggu gara-gara penyebaran foto memperlihatkan dia seakan-akan sedang memeluk aktres Zarina Anjoulie di sebuah kelab malam, baru-baru ini.
Ismail, 18, berkata kontroversi tersebut membuatkan dia mengalami kesukaran untuk tidur malam dan hidupnya tidak tenteram memikirkan isu itu.
“Sejujurnya, selepas kontroversi itu empat hari saya susah nak tidur kerana asyik memikirkan apa yang telah berlaku.
“Hati saya jadi tidak tenang dan hanya tidur tiga jam sehari. Kejadian hitam itu seperti baru berlaku semalam,” katanya kepada mStar Online.
Ismail ditemui semasa rakaman konsert Debaran Bintang Kecil RTM yang diadakan di MyTown Mall, Kuala Lumpur pada Khamis.
Kontroversi itu menjadi perbualan hangat netizen selepas aktres Fathia Latiff berkongsi di laman Instagram miliknya namun ia dipadamkan tidak lama kemudian.
Sementara itu, anak kepada penyanyi era 1980an iaitu Datin Suliza Salam ini mengakui telah mengecewakan keluarga dan seluruh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Ismail menganggap kejadian yang telah berlaku itu sebagai pengajaran yang cukup berguna untuk dirinya, tambahan pula dia merupakan selebriti muda yang masih jauh perjalanan.
“Saya telah mengecewakan semua orang dan sedar bukan mudah untuk mereka maafkan saya, cuma selepas ini saya akan buat lebih baik supaya mereka dapat menerima saya semula.
“Ini adalah ujian paling hebat yang pernah saya terima sepanjang 18 tahun hidup dan ia merupakan pengajaran sangat berguna untuk saya.
“Sebelum ini mama (Suliza Salam) pernah menasihati saya supaya berhati-hati dan ingatkan dalam industri ini artis yang akan jatuhkan artis dan sekarang baru saya percaya kata mama itu betul,” katanya.
Ditanya mengenai tohmahan dan pelbagai dakwaan yang dilemparkan dua pelakon itu dilaman sosial, Ismail memilih untuk tidak mahu mengulas lanjut.
Ujarnya, berdiam bukan bererti salah dan dia akan berkongsi cerita sebenar apabila tiba waktunya kelak.
“Saya tak mahu komen mengenai apa yang didakwa oleh mereka kerana lagi kita bercerita akan membuka ruang kepada mereka.
“Bersabarlah… tiba masanya saya akan keluarkan kenyataan. Kami dah berbincang bersama keluarga dan pihak pengurusan untuk tidak ulas isu ini secara mendalam buat masa ini,” katanya.