DUBAI – Tentera laut Iran telah memasang sistem pertahanan termaju buatan sendiri di salah sebuah kapal perangnya buat pertama kalinya, kata Ketua Tentera Laut Iran ketika mening­katnya ketegangan dengan tentera Ame­rika Syarikat (AS) di Teluk.

Pengawal Revolusi Iran mengesahkannya pada awal bulan ini bahawa pihaknya telah mengadakan latihan perang di Teluk yang didakwa bertujuan mendepani ancaman musuh.

Pusat Pemerintahan Tentera AS mengesahkan bahawa terdapat peningkatan aktiviti tentera laut Iran, termasuk ke Selat Hormuz, iaitu laluan jalan air yang strategik bagi penghantaran mi­nyak mentah yang me­nerima ancaman sekatan Pe­ngawal Revolusi.

Iran sebelum ini menyatakan kemarahannya terhadap ke­putusan Presiden AS, Donald Trump untuk keluar daripada menyertai perjanjian antarabangsa mengenai pro­gram nuklear Iran dan kembali menge­nakan sekatan terhadap Tehran.

Agensi berita Tasnim melaporkan Pang­lima Tentera Laut Iran, Panglima Laksamana Hossein Khanzadi turut ‘mengulangi kenyataannya bahawa ujian pantai dan laut melibatkan sistem pertahanan jarak dekat ‘Kamand’ berjaya dilaksa­nakan dan telah dipasang pada kapal perang sebelum pemasangan di kapal kedua tidak lama lagi.

Kamand disifatkan Phalanx Iran sempena nama senjata mesingun automatik yang dihasilkan oleh firma Amerika Syarikat, Raytheon yang mana pelurunya mampu untuk menghancurkan tembakan peluru berpandu musuh.

Iran memajukan sendiri industri senjata domestiknya pada skala besar untuk menampung keperluannya dan berjaya me­n­yamai ke­upayaan senjata buatan barat setelah gagal membeli dari luar negara kerana sekatan antarabangsa dan embargo senjata. – REUTERS

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.