Pengguna laman maya rata-rata berang berhubung tindakan individu yang membuat teguran terbuka terhadap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam program yang disiarkan secara langsung.

Individu berkenaan membuat panggilan telefon ke studio rakaman program FBI Live dan seterusnya menegur tudung Nurul Izzah yang menurutnya terselak.

“YB (Nurul Izzah) kena berhati-hati sebab YB pakai tudung. Tudung YB kadang-kadang terselak. Kadang-kadang ternampak bahagian yang tak sepatutnya,” kata individu berkenaan melalui panggilan telefon.

Nurul Izzah yang kelihatan terkejut mengucapkan terima kasih atas teguran itu dan cuba menamatkan perbualan, namun individu itu terus memberi perincian baju kebaya Nurul Izzah yang menurutnya ‘ketat’.

“Nampak baju dalam semua. Nampak buah dada tu lah,” katanya yang memperkenalkan diri sebagai ‘Azrul’ dan mendakwa pernah berjumpa Nurul Izzah di agensi berita Bernama ketika bertugas.

Klip video rakaman program itu dikongsi semula di media sosial dan pengguna laman maya menyatakan simpati dan sokongan terhadap insiden yang terjadi terhadap Nurul Izzah.

Rata-rata mengecam sikap individu itu dan mempersoalkan bahawa dia seharusnya menggunakan cara yang lebih sesuai jika betul-betul ikhlas dalam tegurannya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh tampil mempertahankan Nurul Izzah dan menyifatkan tindakan individu berkenaan sebagai membuli.

“Pembuli datang dalam pelbagai bentuk, termasuk yang bersikap ‘aku lebih mulia daripada kau’. Penganjur sepatutnya masuk campur,” kata Hannah melalui Twitter.

Mengulas perkara itu, Nurul Izzah mengakui beliau tersentak dengan insiden itu namun terharu dengan sokongan yang diterimanya.

“Terima kasih. Mula-mula, saya tersentak. Tapi terharu dengan sensitiviti dan prihatin orang ramai yang mempertahankan wanita di mana-mana.

“Begitulah antara sikap seksis dan gangguan yang perlu dihadapi wanita. Kita perlu melawan, dan lebih menghargai wanita,” katanya melalui Twitter.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.