Petaling Jaya – Ibu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Che Tom Yahaya meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ Damansara pada pukul 2.14 pagi Sabtu.

Che Tom menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 82 tahun.

Sebelum ini, Che Tom dirawat di pusat perubatan swasta berkenaan selepas diserang angin ahmar pada 10 Oktober lalu.

Namun, keadaan Che Tom dilaporkan kritikal selepas beliau sekali lagi diserang angin ahmar pada minggu lalu.

Setiausaha Politik kepada Azmin, Mat Shuhaimi Shafiei, berkata jenazah akan dibawa ke Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang bagi pengurusan dan solat jenazah.

“Jenazah kemudian akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Kampung Klang Gate, Hulu Klang dan dijangka tiba pada pukul 9 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate.

“Didoakan semoga Allahyarhamah Bonda Che Tom dicucuri rahmat dan maghfirah Allah SWT serta mendapat husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh nikmat,” katanya.

LEAVE A REPLY