Ibu kepada dua kanak-kanak, seorang daripadanya maut dipercayai akibat didera, sudah jauh tersasar selepas terbabit najis dadah, menurut saudara terdekat ibu muda berumur 24 tahun itu.

Wanita itu berkata, akibat dadah hidupnya musnah dan berakhir dengan tragedi mengakibatkan anak lelakinya maut dan anak perempuannya kini terlantar di hospital.

Menurutnya semasa remaja, ibu kanak-kanak berkenaan seorang yang bijak, baik dan memiliki paras rupa yang menarik.

“Dia sebelum ini tinggal bersama neneknya di Taman Seri Aman 2, Bedong, namun membawa diri selepas putus tunang ketika berusia belasan tahun.

“Dia katanya ke Johor, berkahwin di sana dan kembali menjenguk neneknya bersama anak sulungnya (perempuan) ketika anak itu berusia lebih setahun,” katanya hari ini.

Menurut wanita itu, kali terakhir dia lihat mereka kira-kira tiga bulan lalu di rumah neneknya sebelum mereka berpindah.

“Semalam apabila mendengar berita mengenai kisah penderaan dan penemuan mayat itu disiarkan di televisyen, baru saya sedar kes itu membabitkan dia,” katanya sayu.

Mayat kanak-kanak lelaki berumur dua tahun itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan dibalut kain selimut di dalam tong ikan dan sudah mereput, semalam.

Kanak-kanak itu dipercayai mati didera pada 9 November lalu dan turut didera kakak mangsa berusia empat tahun yang kini masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa dilaporkan memaklumkan kepada polis berhubung mayat anak lelakinya yang disorokkan dalam tong berkenaan akibat didera oleh teman lelakinya berusia 34 tahun pada 9 November lalu di Flet Paya Nahu, di sini.

Sementara itu, seorang jiran di taman perumahan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hawa, 45, berkata air matanya menitis apabila membaca laporan akhbar mengenai kes itu.

“Kanak-kanak lelaki itu saya tidak pernah jumpa namun kanak-kanak perempuan itu saya pernah dukung sewaktu dia berusia setahun lebih,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sumber daripada HSAH memaklumkan moyang kanak-kanak perempuan itu datang melawat pada kira-kira 5 petang tadi.

“Saya dimaklumkan pada pertemuan itu, kanak-kanak itu yang mengenali moyangnya, mengadu sakit di beberapa bahagian badan selain meminta untuk tinggal dengannya selepas keluar hospital.

“Pertemuan singkat itu amat bermakna untuk warga emas berusia lebih 70 tahun itu, kerana pernah menjaga cicitnya itu sewaktu kecil,” katanya.

LEAVE A REPLY