Hutang dadah anak berjumlah RM30,000 dikatakan menjadi punca seorang wanita warga emas maut dalam kejadian samun dan bunuh di Kampung Kuala Gris, Dabong, Kuala Krai Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, penahanan anak mangsa berusia 35 tahun pada Selasa lalu, berjaya membantu polis merungkai kes kematian Rohani Musa, 60, di rumahnya.

“Setelah berjaya menahan anak tunggal mangsa, polis kemudian menahan seorang rakannya berusia 25 tahun pada Rabu lalu, di sebuah kedai kopi di Kuala Krai.

“Suspek kedua mendedahkan, terdapat dua lagi individu terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya, semalam.

Ab Rahman berkata, berdasarkan maklumat, dua suspek itu juga sedang mengesan anak tunggal mangsa untuk diculik, selepas gagal melunaskan hutang berkaitan kegiatan dadah.

Bertindak atas maklumat itu katanya, sepasukan polis berjaya mengesan tempat persembunyian dua individu yang juga suspek utama kes pembunuhan berkenaan.

Menurutnya, polis melakukan serbuan di sebuah kawasan hutan di Kuala Krai, kira-kira jam 9.30 pagi, namun kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) digunakan untuk mengesan mereka.

“Pemeriksaan di lokasi turut membawa penemuan sebuah khemah, komponen motosikal jenis Yamaha RXZ yang dilarikan pada Isnin lalu, kain tudung dan sekeping kad pengenalan milik seorang suspek berusia 22 tahun,” katanya.

Menurutnya, polis yakin kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, boleh diselesaikan dalam jangka masa terdekat.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, Rohani ditemui mati dalam keadaan terikat kaki, tangan dan mulut dipercayai dibunuh selepas disamun di rumahnya di Kuala Krai.

LEAVE A REPLY