Ibu kepada seorang bayi perempuan berusia dua bulan di Melaka, bingung dengan penyakit dialami anaknya yang mengeluarkan air mata berdarah hampir setiap hari.

Hazura Kamal Santhirasehar, 24, berkata tangisan darah itu dikesan sejak anaknya, Maryam Batrisya Abu Kassim, berusia lima hari.

Katanya, beliau dan suami, Abu Kassim Mahmuddin, 39, berada di rumah di Tanjung Minyak, di sini, pada Jun lalu.

“Ketika itu tengah hari dan Batrisya tiba-tiba menangis. Saya bergegas bancuh susu sebelum suami yang menemani anak kami mendapati tangisannya air mata darah.

“Air matanya mengalir dengan darah tetapi dia senyap. Saya kesat air mata anak dengan empat batang putik kapas sebelum membawanya ke Hospital Melaka,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Hazura berkata, anak bongsu daripada lima adik-beradik itu sering mengalami sakit mata, kornea menjadi merah dan bertahi di sebelah mata kiri pada awalnya, namun kini merebak ke sebelah kanan.

Beliau berkata, doktor pakar yang merawat anaknya di Jabatan Oftalmologi hospital berkenaan belum mengenal pasti jenis penyakit dihidapi namun jika tidak dirawat, anaknya boleh menjadi buta.

Katanya, mereka berusaha mendapatkan bantuan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), selain berharap ada yang sudi menghulurkan bantuan.

LEAVE A REPLY