Tapak tangan dan tapak kaki selalu basah, berair walaupun dalam bilik air-cond. nampak tak sambil baring-baring pun tapak tangan keluarkan losyen dia sendiri. Saya pernah terbaca artikel mengenai masalah ini dulu, palmatesis fotosintesis apa entah namanya.

Sebab itu dari kecil, saya tidak suka dengan tulisan atau lukisan sendiri sebab mesti akan jadi comot. Tengah melukis atau menulis, kertas melekat di tangan. Saya kalau boleh, nak elak bersama dengan orang sebab mereka akan terkejut pula nanti.

Dulu, saya selalu menolak permintaan cikgu untuk menguruskan apa-apa program atau perhimpunan sebab mikrofon yang saya pegang nanti akan menjadi basah. Kalau pegang mikrofon dan diserahkan kepada pengguna seterusnya, kasihan pula mereka kena lap dulu mikrofon itu.

Apa-apa barang yang dipegang juga mudah terlucut dari genggaman. Tak suka cincin dan jam tangan walaupun pernah cuba pakai. Kasut? Erm, selipar Jepun juga yang sesuai. Tergelincir itu sudah biasa. Bukan semestinya jatuh tetapi tergelincir ala-ala macho gitu dan selepas itu dapat imbang balik posisi badan. Hehe!

Banyak call yang saya sengaja tak jawab sebab ‘touch screen’ tak berfungsi pula bila dah basah. Sebab itu saya elakkan diri dari kerja-kerja yang melibatkan susun atur barang atau kerja-kerja menghias atau yang melibatkan kertas. Saya bimbang akan merosakkan harta benda orang. Jadi saya beralih kepada kerja outdoor seperti mesin rumput, tebang pokok, bancuh simen, toreh getah, cuci kereta, main bola. Haha!

Saya suka bersukan sebab semua orang akan berpeluh, jadi nampaklah sikit kita tiada beza. Hehe! Tetapi bukan semua suka sesuai, antaranya tarik tali. Memang tak cengkam langsung kecuali pakai tepung.

Saya tak boleh bayangkan macam mana nak bersalaman dengan Tok Kadi nanti. Mesti Tok Kadi kata, “Awak gugup ke?”. Saya tak suka kalau orang kata saya gugup walaupun sebenarnya tidak. Kalau gugup, lagilah berpeluh tapak tangan.

Kalau tonton filem yang ada babak nak jatuh bangunan atau gaung, heroin berpaut pada tangan hero kan, saya kata kalau hero itu saya, dah lama awek itu jatuh mati sebab tangan licin. Haha!

Orang yang sudah lama mengalami masalah ini dia akan tahu mengawalnya sebab secara sedar atau tak pasti ada keadaan atau kondisi yang menyebabkan ia berlaku dan berhenti. Antaranya kena tahu teknik mengawal pernafasan, minda dan fikiran. Walaupun tak menghilangkan, sekurang-kurangnya mengurangkan.

Lain orang, lain keadaan tindakbalas tubuhnya. Cuba kalau korang perhati atau kaji bila waktu atau apa keadaan yang membuat tapak tangan atau kaki itu menjadi normal. Bila sudah tahu, buat eksperimen sama ada ia betul-betul mempengaruhi atau kebetulan.

Yang mengalami masalah ini pasti tapak tangannya mula basah bila baca perkongsian ini kan? Tak apa, relax dulu, lap dulu. Hihi. Saya pun nak taip panjang lagi tetapi handphone dah basah.

Tapi orang yang sama seperti saya ini beruntung sebab kulit dia lembut dan cantik macam perempuan walaupun macam-macam kerja kasar yang dibuat. Biasa dah dengar bila salam, “Oh, lembutnya tangan”. Selain itu, boleh buat magik dan tunjuk pada anak saudara yang kertas boleh melekat di tangan. Haha! – Lukman Al-Hakim Hamdan

LEAVE A REPLY