Tindakan beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) yang menyokong hukuman sebatan terhadap pasangan lesbian di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, adalah bertentangan dengan prinsip kerajaan baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan dari DAP, Ean Yong Hian Wah berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperjuangkan prinsip keadilan, timbang rasa dan prihatin kepada semua golongan.

“Atas sebab ini saya menggesa pemimpin tertinggi PAN menyatakan pendirian rasmi parti berhubung isu hukuman sebatan ini.

“PAN perlu beri kenyataan untuk perjelaskan perkara ini,” katanya ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Shah Alam, pada Rabu.

Hian Wah bagaimanapun berkata, gesaan beliau terhadap PAN itu merupakan pendirian peribadi beliau sebagai seorang wakil rakyat.

Gambar hiasan

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu melaksanakan hukuman masing-masing enam sebatan terhadap dua pesalah wanita berusia 22 dan 32 tahun selepas didapati bersalah melakukan hubungan sejenis dalam kereta pada April lalu.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Sebelum ini, Ketua Wanita PAN, Dr Siti Mariah Mahmud membidas sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengkritik pelaksanaan hukuman sebat terhadap pasangan lesbian itu.

Beliau yang juga ADUN Seri Kembangan berkata, hukuman sebatan sudah diguna pakai Mahkamah Syariah di negeri lain, seperti kes di Mahkamah Syariah Tawau beberapa tahun lalu.

Dr Siti Mariah berkata, negara ini mengiktiraf dua sistem perundangan, iaitu sistem syariah dan sivil.

Selain itu, Pengarah Komunikasi PAN Terengganu, Mohd Hasbie Muda, turut menyokong pelaksanaan hukuman sebatan itu yang dilihat sebagai keperluan bagi mengekang penularan seks sejenis di negeri ini.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.