Peperangan kamera di kalangan pengeluar telefon pintar bukanlah suatu perkara yang baru. Rata-rata mereka berlumba untuk menghasilkan telefon pintar yang dilengkapi dengan fungsi kamera yang mempunyai resolusi yang tinggi.
Mungkin kerana persaingan yang sengit di antara satu sama lain, sesetengah pengeluar telefon pintar ‘terpaksa’ mengambil jalan pintas bagi mencari idea untuk menjual produk mereka itu.
Itulah apa yang berlaku kepada syarikat Huawei setelah mereka didapati menipu dalam kempen telefon pintar Huawei Nova 3 untuk negara Mesir baru-baru ini.
Di dalam kempen tersebut, syarikat elektronik gergasi China itu telah cuba untuk memperdayakan pelanggan mereka tentang keupayaan kamera hadapan telefon itu merakam selfie setelah mereka didapati menggunakan kamera DSLR.
Lebih memalukan lagi apabila perkara tersebut telah didedahkan oleh krew Huawei sendiri apabila dia telah berkongsi gambar ‘behind the scene’ di Instagram.
Insiden seperti ini bukanlah merupakan kali pertama berlaku. Sebelum ini, syarikat pengeluar telefon gergasi Nokia turut pernah didapati menggunakan kamera DSLR bagi mendapatkan gambar berkualiti tinggi untuk tujuan kempen telefon bimbitnya suatu ketika dahulu.