KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yakin Tengku Razaleigh Hamzah adalah calon yang layak untuk mengepalai UMNO serta membawa parti keramat Melayu itu untuk bangkit semula.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata itu adalah hasrat akar umbi yang mahu melihat perubahan pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

Katanya, veteran UMNO itu yang juga bekas Menteri Kewangan, diyakini mampu untuk menggugat kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus membantu parti itu untuk merampas tampuk pemerintahan negara pada masa depan.

“Buat masa ini, kita melihat Tengku Razaleigh adalah satu tokoh yang boleh diketengahkan untuk mengepalai UMNO.

“Saya merayu pada Tengku Razaleigh untuk mempertimbangkan keputusan bertanding sebagai Presiden parti.

“Kita bukan menolak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden, sebaliknya kita ucapkan terima kasih pada beliau dan sesiapa saja yang bakal terpilih pada pemilihan kali ini, kita akan menyokong sepenuhnya.

“Tetapi, hari ini perlunya satu pengharapan kepada akar umbi untuk memilih individu yang lebih elok dan boleh membawa wadah perjuangan UMNO untuk kembali bangkit menerajui kerajaan suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Calon Exco Pemuda UMNO Malaysia 2018-2021 di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 41 calon diperkenalkan membabitkan empat bagi jawatan Majlis Tertinggi UMNO, seorang bagi Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, tiga untuk Ketua Pemuda UMNO dan dua untuk Naib Ketua Pemuda UMNO.

Sementara itu, ditanya mengenai calon Ketua Pembangkang di Parlimen bagi Barisan Nasional (BN), Mohd Razlan berkata, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin paling sesuai mengisi posisi berkenaan kerana karisma dan kekuatannya berhujah.

“Ketua Pembangkang tidak semestinya duduk di kedudukan tertinggi dalam parti dan jika letak Khairy, baru (Ahli Parlimen Pakatan Harapan) gerun.

“Malah, jika berganding pula dengan Tengku Razaleigh, saya rasa Dr Mahathir pun akan gerun sebab buku bertemu ruas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.