KUALA LUMPUR – Pelakon Hairul Azreen memberitahu selepas hampir dipatuk ular tedung Ahad lalu membuatkan dia mula terfikir soal kematian.

Bersyukur tiada apa yang berlaku namun pelakon itu akui itu adalah petanda untuk dia bersedia tentang soal tersebut.

“Kejadian berlaku bila saya sedang berehat selepas mengayuh basikal. Bila saya baring di atas rumput kawasan itu, rakan saya memberitahu ada ular yang berada di kaki saya.

“Memang saya tidak perasan ketika itu walaupun diberitahu anak ular tedung tetapi saiznya agak besar,” katanya ketika ditemui di majlis perlancaran filem Paskal sebentar tadi.

Mengakui terkesan dengan kejadian tersebut, Hairul ketika ini juga bersedia mempersiapkan dirinya dengan ilmu agama.

“Saya beritahu Hanis sehari selepas kejadian saya mungkin tiada di sini hari ini. Melihat kejadian itu membuatkan saya terfikir saya masih banyak ketinggalan khususnya dalam bekalan sebelum meninggalkan dunia,” kongsinya lagi.

Sementara itu bercakap mengenai pengalaman berlakon dalam filem bercirikan ketenteraan ini, kata Hairul selain mengalami kejadian patah jari dia juga turut berhadapan dengan peristiwa menjadi sasaran lanun ketika penggambaran di Sabah.

“Ketika kejadian itu saya tidak diberitahu soal lanun selain hanya difahamkan tidak boleh keluar dari pelantar minyak dengan pelbagai alasan. Walhal ketika saya sudah selesai penggambaran nak mahu pulang ke Kota Kinabalu.

“Selepas beberapa kali ditanya akhirnya pihak produksi memberitahu hal sebenar. Difahamkan pihak lanun mahu menculik untuk tujuan mendapatkan tebusan. Bagaimanapun semuanya selamat tiada apa-apa yang berlaku,” jelasnya.

Selain Hairul filem dengan bajet RM10 juta itu turut membariskan Ammar Alfian, Datuk Eizlan Yusof, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Filem aksi yang bakal ditayangkan pada 27 September ini mengisahkan perjuangan Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan menjalani penggambaran di Lumut, Perak, Semporna, Sabah dan Turki. – UTUSAN ONLINE

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.