Para saintis mengeluarkan amaran kepada orang ramai bahawa penggunaan telefon pintar di dalam tandas boleh mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan.

Lapor Mail Online, amaran itu dikeluarkan selepas trend pengguna masa kini yang se­ring membawa telefon pintar ke mana-mana termasuk di dalam tandas.

Hasil kajian oleh penyelidik Australia yang dijalankan pada tahun lalu menunjukkan, seba­nyak 41 peratus rakyat Australia menggunakan telefon pintar di dalam tandas manakala 75 peratus penduduk Amerika Syarikat (AS) turut mengamalkan tabiat serupa.

Dengan mengamalkan tabiat tersebut, mereka mendedahkan diri kepada masalah kesihatan.

“Wujud air dan zarah udara yang tersimpan di dalam te­lefon. Pelindung dan sarung telefon kebiasaannya diperbuat daripada getah yang memudahkan untuk bakteria merebak,” kata Dr. Anchita Karmakar mengenai kajian ber­kenaan baru-baru ini.

Tambah Karmakar, orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan telefon bimbit di dalam tandas, terutamanya tandas awam.

“Walaupun tidak menggunakan telefon di dalam tandas, mereka masih meme­gangnya semasa masuk dan keluar bilik air. Ketika itu, bakteria pada telefon boleh merebak sekiranya anda tidak membasuh ta­ngan terlebih dahulu,” ujarnya.

Langkah terbaik untuk mengelakkan bakteria telefon merebak ialah dengan menggunakan semburan khas yang boleh didapati di kedai-kedai aksesori gajet dan kerap membersihkan skrin sesentuh tele­fon pintar.

LEAVE A REPLY