Detik hitam apabila pengsan di dalam kereta dan akhirnya koma selama tiga bulan yang bermula pada pertengahan 2014 nyata me­ngubah kehidupan seorang gadis berusia 24 tahun.

Ummu Diyana Ibrahim me­nganggap dirinya seperti ‘mati hidup semula’ yang kini mampu menyambung pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Pelajar itu mengakui apa yang berlaku benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikalnya dan peluang kedua yang diberikan Allah SWT itu akan dimanfaatkan demi diri, keluarga dan masa depannya.

Menceritakan peristiwa hitam itu, katanya, ia bermula ketika beliau dalam perjalanan pulang ke kampungnya di sini dari Behrang, Perak.

“Dalam perjalanan, saya rasa macam nak muntah, tak sedap badan. Jadi, ambil keputusan untuk berhenti berehat sekejap di Rawat dan Rehat (RNR) Bukit Gantang.

“Benda yang terakhir saya ingat, saya biarkan enjin dan penghawa dingin terbuka kerana mahu terlelap sekejap,” katanya ketika ditemui Bernama.

Bekas pelajar Politeknik Behrang itu langsung tidak me­nyangka hanya akan “terba­ngun” semula selepas lebih tiga bulan.

Di saat itu juga, bermulalah perjuangannya untuk kembali sedar sepanjang terlantar di Hospital Taiping sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas disahkan mengalami kelemasan karbon monoksida.

“Sepanjang koma, saya memang dengar dan nampak apa saja yang berlaku. Cuma saya tidak dapat memberi respons. Seluruh tubuh saya terkunci,” jelas anak bongsu dari enam beradik itu.

Doktor kemudiannya meng­ambil keputusan mahu melakukan intubasi di lehernya namun pihak keluarga meminta menangguhkan prosedur tersebut kerana memikirkan implikasi yang bakal dihadapi pelajar itu.

Pantang maut sebelum ajal, Ummu Diyana hanya kembali sedar pada hari terakhir tarikh pe­nangguhan yang diberikan doktor.

“Sehingga hari terakhir yang diberikan doktor, saya masih belum memberi respons yang sepatutnya. Ibu bapa saya tidak berputus asa dengan tidak henti-henti bercakap dengan saya, minta saya kelipkan mata, menangis atau mengenggam ta­ngan mereka kalau saya sedar.

“Entah macam mana, saya kuatkan semangat dan lawan ‘kunci’ yang mengikat diri saya dan akhirnya saya kembali sedar,” katanya.

LEAVE A REPLY