rogol-anak-sendiriBapa durjana. Begitulah yang dapat digambarkan mengenai tindakan seorang bapa kandung yang menjadikan anak sendiri sebagai tempat pemuas nafsu selama lebih setahun hingga mangsa yang berusia 17 tahun itu mengandung.

Perbuatan keji itu diketahui apabila mangsa yang bekerja sebagai pelayan kedai makan membuat laporan polis setelah tidak tahan diperlakukan sedemikian.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, susulan laporan yang dibuat mangsa, suspek berusia 40 tahun dan merupakan penganggur diberkas di sebuah rumah di Kampung Sinjan, Petra Jaya kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian rogol telah berlaku bermula Julai tahun lalu dan berterusan hampir setiap bulan sehingga pertengahan bulan ini.

“Suspek memaksa mangsa melakukan hubungan seks malah mengugut akan mencederakan mangsa jika memberitahu sesiapa.

“Kejadian terakhir berlaku semalam kira-kira pukul 3 pagi malah ia disaksikan sendiri ibu mangsa yang tidur sebilik tanpa memberikan sebarang bantuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abang Ahmad memberitahu, hasil siasatan mendapati mang­sa tidak pernah memberitahu se­siapa mengenai kejadian yang menimpanya kerana malu dan bimbang keselamatan dirinya.

“Ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah dan dia mengaku telah merogol mangsa beberapa kali. Ibu mangsa juga penganggur berusia 36 tahun telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Tambah Abang Ahmad, kes disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan (sumbang mahram) dan permohonan reman akan dibuat esok.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri telah dimaklumkan mengenai kejadian bagi membolehkan mangsa diberi bantuan kaunseling.

LEAVE A REPLY